KUALA LUMPUR – Penampilan julung kali seramai 440 atlet muda daripada seramai 676 orang membawa misi negara ke Sukan SEA di Kemboja bermula 5 Mei ini satu pertaruhan berani Kementerian Belia dan Sukan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, berbanding penghantaran pemain elit yang sering menghiasi setiap edisi Sukan SEA sebelum ini, kali ini, penurunan seramai 65 peratus atlet penampilan pertama dengan paling termuda atlet akuatik renang fin swimming berusia 11 tahun disifatkan pelaburan jangka panjang industri sukan negara.
Katanya, para atlet muda bertuah kerana terpilih dalam kalangan sembilan juta bel di negara ini.
Menurut Hannah, ia merupakan proses pelaburan atlet muda untuk pergi bersaing di pentas antarabangsa demi pengalaman dan pendedahan bernilai pada masa akan datang.
“Rakyat tidak boleh meletakkan harapan tinggi sangat pada mereka tetapi mereka akan mewakili negara dan menyinar pada masa hadapan.
“Cuma pesanan saya kepada atlet muda ini adalah jangan risau mengenai sasaran pingat tetapi ingat peluang ini tidak jamin kembali selepas ini dan ini mungkin terakhir maka anda perlu rasa bertuah dipilih mewakili negara.
“Anda selesa menyarung jersi Malaysia ke SEA Kemboja hari ini dan mungkin fikir ia disebabkan Hannah Yeoh atau wang tajaan..no..ia tidak sebegitu, ini adalah wang cukai titik peluh rakyat Malaysia, pak cik anda yang mungkin bekerja keras untuk membayar cukai dan ia dinikmati dalam bentuk kemudahan.
“Demi hargai pengorbanan rakyat kita dan mendukung sokongan mereka kepada kita, maka pergi ke medan pertarungan dan berjuang sebaik-baiknya tanpa berputus asa demi melakar kejayaan,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
Tambah Hannah, atlet muda yang mewakili negara ke temasya Sukan SEA edisi ke-32 kali ini membawa harapan rakyat Malaysia yang bersatu hati memberi sokongan supaya kejayaan mampu dibawa pulang dalam bentuk pingat.
Beliau pada masa sama memberi pesanan kepada atlet muda agar pergi menulis dalam diari peribadi tentang maksud sebenar tema ‘Demi Malaysia’ agar ia dihadam dan dijadikan pencetus semangat membawa misi negara dalam medan pertarungan sukan.
Katanya, atas semangat itu beliau menyeru setiap seorang atlet ke Kemboja supaya turun berjuang habis-habisan demi menjelmakan kejayaan.
“Atlet yang membuat penampilan sulung di temasya kali ini perlu sedar bahawa inilah medan mempamerkan kegigihan, keberanian dan kesungguhan anda supaya mampu mendaki gunung saingan yang lebih mencabar pada masa hadapan.
“Saya akui pingat emas penting tetapi itu bukan satu-satunya kayu pengukur menentukan sama ada misi kita ke Kemboja berjaya atau sebaliknya.
“Tetapi jangan resah memikirkan sasaran pingat tetapi berjuang demi menjadi yang terbaik mengatasi pencapaian peribadi sebelum ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette