PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

IPOH – Dakwaan individu menerusi video yang tular dalam media sosial bahawa pihak polis enggan menerima laporan untuk tujuan keselamatannya, kini telah dirujuk kepada Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan dalaman.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan malam ini berkata, pihak polis menyambut positif terhadap sebarang maklum balas yang diterima daripada rakyat.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) daerah Ipoh ingin menegaskan bahawa pihak polis tidak pernah dan tidak akan menghalang pengadu untuk membuat laporan polis di mana-mana balai polis di seluruh negara,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kandungan video berkenaan sehingga menjejaskan siasatan dalaman pihak polis mahupun mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli masyarakat.

Katanya, polis hari ini mengesan satu video berdurasi 35 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @nanmanjoi8715 memaparkan kejadian seorang lelaki (pengguna media sosial TikTok @vikramnaidu4488) mendakwa pihak polis enggan menerima laporan yang hendak diadukan olehnya untuk tujuan keselamatan, yang telah menarik perhatian masyarakat umum. – Bernama