KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan penangguhan pembayaran wang kemenangan pada musim 2020 telah dipersetujui oleh pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, ini kerana Tunku Ismail memahami kekangan kewangan pihaknya yang kehilangan wang tajaan kira-kira RM30 juta akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
“MFL telah melakukan pembayaran secara berperingkat dan kini dalam proses akhir menyelesaikan baki pembayaran wang kemenangan itu tahun ini.
“Bagaimanapun penangguhan pembayaran bagi musim itu hanya melibatkan JDT sahaja di mana MFL tidak ada sebarang tunggakan dengan pasukan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Tunku Ismail berharap denda susulan tindakan penyokong membakar suar di Stadium Sultan Ibrahim selepas aksi JDT dapat ditolak daripada hutang lama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan pasukan itu.
Perkara itu dinyatakan Tunku Ismail selepas beliau mengakui JDT bakal dikenakan denda apabila tiga kali membakar suar dalam saingan Liga Super.
Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan badan induk itu mempunyai hutang dengan skuad Harimau Selatan itu.
Sebaliknya, Hamidin menjelaskan kemungkinan bahawa MFL yang masih ada hutang dengan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu membabitkan wang kemenangan. – MalaysiaGazette