Kredit FB Polis Trafik Kuantan

KUANTAN – Pasangan kekasih dipercayai melakukan aksi ‘wheelie’ yang videonya tular di media sosial semalam, ditahan di sebuah rumah di Balok, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata remaja lelaki dan teman wanitanya yang kedua-duanya berusia 17 tahun itu, ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan antara 11.30 pagi dan 2.30 petang.

“Siasatan awal mendapati motosikal tersebut kepunyaan ibu remaja lelaki itu dan mempunyai lima rekod saman. Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Video berdurasi hampir seminit itu menunjukkan aksi seorang penunggang lelaki bersama pembonceng perempuan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX-5 berwarna putih, melakukan aksi mengangkat tayar hadapan ‘wheelie’ di jalan Chendor di sini menghala ke Kemaman, Terengganu.

— BERNAMA