Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bercakap kepada media selepas Sesi Lawatan Operasi Response Team (QRT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 01 FEBUARI 2023.

KUALA LUMPUR –  Rayuan pengampunan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipertimbangkan untuk dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan pada waktu yang sesuai selepas ini.

Untuk makluman, rayuan pengampunan itu tidak dibincangkan pada persidangan ke-59 Lembaga Pembangunan lalu di Istana Negara Jumaat lepas.

Menurut Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, kertas berkaitan rayuan pengampunan Najib akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan yang terpakai.

“Urus setia Lembaga Pengampunan ingin memaklumkan bahawa kertas rayuan pengampunan Datuk Seri Najib tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.

“Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” katanya dalam kenyataan.

Khairul Dzaimee yang juga Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, lembaga pengampunan telah mempertimbangkan sebanyak 10 kes rayuan pengampunan mengikut Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000.

Mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette mendedahkan petisyen pengampunan terhadap Najib yang sedang menjalani hukuman penjara di Kajang tidak dibentang oleh BHEUU Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit.

Untuk makluman Najib sudah memfailkan petisyen pengampunan dan memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen, antaranya salinan permohonan pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, bertarikh 1 September tahun lalu.

Manakala pada penghakiman pada 31 Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, mempengerusikan panel lima hakim terbabit yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang; Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam permohonan itu, Najib, 69, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, memohon membatalkan keputusan yang dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu kemudiannya dikekalkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 9 Disember 2021.

Pada 7 April lepas, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula membuat ketetapan memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette

Petisyen Najib kena ikut giliran, kata sumber

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. DSAI tak pun melalui Lembaga Pengampunan untuk mendapat pengampunan YDPA. Kenapa DSNR tak diberi kelonggaran itu. Dia mantan Perdana Menteri yang banyak berjasa dan beliau pengajwaan politik terpilih. YDPA perlu memberi ikhsan kepada beliau sebagai kes khas.Rakyat sayang dia dan perlukan kehadirannya. Tolonglah Tuanku bagu perkenan.

Comments are closed.