LIPIS – Proses pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi proses Pilihanraya Negeri (PRN) bagi enam buah negeri tidak boleh dilakukan secara tergopoh-gopoh.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sesi perbincangan di peringkat negeri perlu diadakan oleh semua parti sebelum dimuktamadkan ke peringkat nasional.
Jelasnya sebarang keputusan perlu dibuat atas faktor penerimaan para pengundi terhadap calon yang disukai oleh penduduk setempat.
“Soal yang kami utamakan ialah bagaimana pembahagian kerusi itu dilaksanakan bukan sahaja dibuat atas rasa konsensus tetapi tentang kebolehmenangan calon.
”Kita tidak akan buat keputusan tergopoh-gopoh kerana kita merasakan bukan sahaja soal kemenangan tapi soal penerimaan oleh para pengundi dan ’like ability’ iaitu seorang calon yang disukai dan sesuai dengan citarasa pengundi kawasan itu,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata kepada media sejurus Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Pahang di Sungai Koyan dekat Lipis, Pahang yang dimeriahkan oleh 10,000 tetamu.
Hadir sama Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kempimpinan kerajaan Pahang.
Mengulas lanjut beliau berkata Kerajaan Perpaduan masih mempunyai masa sehingga Julai atau awal Ogos untuk membuat penelitian rundingan pembahagian kerusi sebelum proses kempen pilihan raya secara rasmi nanti.
Ia katanya, bagi mengelak sebarang pertembungan atau permasalahan apabila calon dipilih itu tidak dapat memberikan kemenangan dalam PRN.
“Maka apa yang dilakukan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah dengan mengadakan perbincangan di antara BN dan PH terlebih dahulu.
“Apabila perbincangan di peringkat negeri dimuktamadkan maka ia dibawa ke peringkat nasional,” katanya,” ujarnya.
Ahmad Zahid juga mengingatkan bahawa parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak boleh mengambil ringan cabaran untuk PRN di enam negeri, terutamanya di Selangor. – MalaysiaGazette