KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di tempat membuang sampah di tepi Jalan Masjid, berhadapan Bella Damansara, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi pada jam 7.15 pagi.
Tambah beliau, bayi yang dipercayai warga tempatan itu ditemui pasangan anak beranak yang membawanya ke balai polis Damansara.
“Siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai pasangan warga tempatan itu dalam keadaan berbalut kain kuning, masih bertali pusat dan uri bersamanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohamad Fakhruddin, bayi malang itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan yang dilakukan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan kemerahan di pipi sebelah kiri.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan insiden tersebut diminta menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222. – MalaysiaGazette