KUALA LUMPUR – Harga runcit maksimum minyak masak sawit tulen kemasan botol kekal bagi tempoh 8 Mei hingga 7 Jun, kata Kementerian Perdagangan Dalam dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, harga minyak masak botol bagi satu kilogram (kg) kekal pada harga RM6.90, 2kg pada RM13.30, 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.7) 2023.
“Secara umumnya, terdapat sedikit kenaikan harga minyak sawit mentah untuk bulan Mac berbanding bulan sebelumnnya yang telah melepasi RM4,000 per tan metrik.
“Kenaikan ini sekaligus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Salahuddin menegaskan, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sabit kesalahan bagi individu, boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda hingga RM500,000. – MalaysiaGazette