PUTRAJAYA – Penutupan jalan berikutan kerja-kerja pembinaan dikenalpasti sebagai antara punca kesesakan jalan raya di Lembah Kelang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, koordinasi segera dengan pihak berkuasa tempatan perlu dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut dengan kadar segera.
“Satu koordinasi dengan segera akan dilakukan bagi kawasan pembinaan lebuh raya, bangunan atau lain-lain infrastuktur
“Penutupan jalan ini hendaklah dikurangkan dan mesti dimaklumkan supaya ada kaedah penyuraian terhadap masalah lalu-lintas,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita dalam sidang media.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) Bil 1/2023 yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sementara itu Anthony berkata, pihaknya menjangkakan tempoh dua minggu akan diambil bagi mengatasi isu penutupan jalan raya disebabkan kerja-kerja pembinaan.
“Pada ketika ini penutupan jalan terlalu lama. Pihak polis turut mengadu. Ada yang sudah dua tiga tahun ditutup tetapi sudah dibuka semula.
“Kita nak jalan yang ditutup terlalu lama mesti dibuka semula dengan kadar segera,” kata Anthony.
Empat kertas kerja dibincangkan dalam mesyuarat selama dua jam tersebut bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Lembah Kelang.
Penyelesaian lain termasuk memperkenalkan lebih banyak laluan kontra pada waktu puncak di kawasan utama yang dikenalpasti mengalami kesesakan.
Sebuah jawatankuasa teknikal turut ditubuhkan bagi mengatasi isu kesesakan jalan raya bagi tempoh jangka masa panjang.
Kementerian Pengangkutan dilantik sebagai sekretariat dan melibatkan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.
Jawatankuasa berkenaan akan bermesyuarat sebanyak empat kali tahun ini.
Pendekatan dan strategi bersifat yang boleh dilaksanakan segera termasuk menambahbaik dan memperluaskan penyediaan bas henti-henti, bas pengantara.
Menambahbaik akses/kemudahan pejalan kaki ke stesen bas, rel;
pengurusan trafik yang memberi keutamaan kepada pengangkutan awam dan pembangunan sistem maklumat dan pengurusan jadual berintegrasi tunggal di Lembah Kelang.
Selain itu menambah baik tempat menunggu bas yang selesa dan selamat dengan sistem maklumat bas; menambah penyediaan pengangkutan awam alternatif seperti Ondemand Services, e-hailing; dan pengintegrasian mod pengangkutan bus dan rel.
Berdasarkan analisis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi suku tahun pertama 2023 purata 1.8 juta kenderaan masuk dan keluar sehari dari 13 jalan utama menuju ke pusat bandar.
Jumlah itu boleh mencecah hampir 2.5 juta sehari.
DBKL sebelum ini menyasarkan tahun 2030 bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya secara keseluruhan namun jawatankuasa itu mahu sasaran berkenaan diawalkan.-MalaysiaGazette