Seorang wanita berjalan menggunakan payung berikutan cuaca panas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan seorang kanak-kanak di Kluang, Johor meninggal dunia akibat strok haba.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Mothar Pungut @ Ahmad berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun berkenaan meninggal dunia akibat Septic Shock secondary to Meningoencephalitis.

“Terlebih dahulu pihak JKNJ ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Adalah dimaklumkan siasatan yang telah dijalankan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang mendapati bahawa kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke wad kerana mengalami sawan selepas mengalami demam panas sehari sebelum dan mempunyai gejala batuk selama tiga hari.

“Sebab kematian telah disahkan sebagai Septic Shock secondary to Meningoencephalitis, dan tiada kaitan dengan strok haba seperti dilaporkan dalam media,” katanya dalam kenyataan.

JKNJ memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, JKNJ sudah menerima laporan awal kes kanak-kanak itu dan maklumat lanjut sedang diperincikan.

“Kerajaan Johor maklum mengenai kes tular itu. JKNJ sedang menyiapkan laporan penuh mengenai kes itu supaya maklumat lebih tepat mengenai punca sebenar kejadian dapat didedahkan kepada umum.

“JKNJ akan mengeluarkan laporan media kes itu sebaik laporan penuh kes itu siap hari ini juga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam, disyaki disebabkan strok haba.

Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, dilaporkan berkata, anak keduanya Airiel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat septic shock secondary to meningoencephalitis di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu, mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau, kira-kira 10 malam Ahad lalu. – MalaysiaGazette