Amira Saddiq
Amira Aisya Abd. Aziz

KUALA LUMPUR – Gesaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) supaya pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak ditolak bukan disebabkan parti itu membenci UMNO.

Sebaliknya, menurut Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, gesaan tersebut dibuat supaya pengampunan terhadap Najib tidak akan mewujudkan dahuluan yang berbahaya untuk negara dan generasi akan datang.

“Kami hormat keputusan mahkamah dan percaya bahawa proses pengampunan ini perlu dijalankan tanpa sebarang campur tangan.

“Namun, sekiranya Datuk Najib diampunkan selepas disabit bersalah di ketiga-tiga peringkat mahkamah, kita akan wujudkan precedent yang sangat merunsingkan untuk negara.

“Adakah selepas ini, sesiapa sahaja yang disabit bersalah dengan mencuri dan menyeleweng dana Kerajaan akan terima pengampunan?” soal beliau.

Amira Aisya berkata, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa beliau dapat melihat banyak kerja baik untuk rakyat dilakukan oleh kepimpinan UMNO terutamanya di Johor.

Justeru beliau berharap agar semua pihak dapat bersama-sama membersihkan gelanggang politik agar rakyat menilai wakil rakyat melalui polisi dan kerja di lapangan.

“Jangan mulakan precedent yang bahaya untuk negara dan generasi akan datang. Saya beri jaminan. MUDA tak akan hipokrit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjawab kritikan sinis Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi selepas MUDA mendesak supaya Najib tidak mendapat pengampunan diraja.

Amira Aisya berkata, beliau menghormati Puad sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

“Dan atas dasar hormat itu, saya akan jelaskan kedudukan saya dan MUDA dalam isu permohonan ampun Datuk Seri Najib.

“MUDA ditubuhkan untuk memperjuangkan politik baru. Atas dasar itu, kami tolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk kleptokrasi,” tegas beliau.

Puad sebelum ini menyindir MUDA supaya tidak bersikap hipokrit kerana parti itu bukanlah suci selepas presiden parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga diseret ke mahkamah atas pertuduhan rasuah.

Serentak itu Puad menegaskan, MUDA tidak perlu memohon maaf selepas mendesak Najib tidak mendapat pengampunan diraja, iniĀ  kerana UMNO tidak merasa tersinggung dengan gesaan tersebut.

Tambah Puad, MUDA bukan parti Kerajaan Perpaduan malah parti itu ketika ini menggemis untuk menjadi anggota komponen Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Itu menunjukkan pemikiran MUDA cetek dan tai matang. Tak tau nak bezakan betul dan salah, baik dan buruk serta benar dan tipu. Mana mungkin yang sakau berbillion ringgit untuk anak dan kroni benas dilusr dan yang berbuat baik dipenjara. MUDA lebih baik anjurkan ceramah ugana yang membicarakan fitnah akhir zaman supaya taj meraou dan bisong macam tin kosong.

Comments are closed.