Fahmi Fadzil.- Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Permohonan baharu bagi tiga geran utama iaitu Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Malaysia Digital X-Port (MDXG) dan Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG) dibuka mulai hari ini sehingga 1 Jun 2023.

Inisiatif kerajaan tersebut diselaraskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pengagihan geran tersebut penting bagi merealisasikan idea pemain industri kreatif.

Ia juga bagi meningkatkan bakat bakat tempatan dalam penciptaan kandungan digital.

“Ini termasuk manfaat hasil daripada kerjasama di peringkat antarabangsa dan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan.

Ekonomi digital Malaysia telah mencapai 22.6 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021.

Angka tersebut dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.

DCG memfokuskan kepada pembangunan industri kreatif digital.

MDXG pula bertujuan menyokong pengembangan syarikat teknologi tempatan untuk mempelopori pasaran antarabangsa.

Manakala MDCG menyasarkan pembangunan teknologi dan inovasi yang berdaya saing.

“Ketiga-tiga geran berkenaan merupakan salah satu resolusi masa depan bagi menyediakan ekosistem industri digital negara yang lebih kondusif dan mampan,” kata Fahmi.

MDEC dalam kenyataan berkata tarikh akhir permohonan tersebut adalah pada 1 Jun.

Permohonan terpilih perlu menghadiri sesi pembentangan yang dijadualkan pada bulan Jun.

Keputusan permohonan dijangka akan diumumkan pada bulan Julai an tertakluk kepada jumlah permohonan yang diterima.

Pemohon yang berminat boleh melayari laman web www.mdec.my/grants untuk mendapatkan maklumat lanjut.-MalaysiaGazette