Anggota polis berpangkat Koperal dihukum penjara 9 bulan kerana rasuah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini

KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat koperal dihukum penjara sembilan bulan hari ini oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini selepas didapati bersalah menerima suapan sebanyak RM700.

Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain yang membuat keputusan tersebut ke atas Mohamed Syaffiq Mohammed Sidek turut mengenakan hukuman denda sebanyak RM10,000 kepadanya.

Ahmad Zamzani memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, Mohamed Syaffiq boleh dipenjara lagi selama 12 bulan.

Bagaimanapun, hakim itu membenarkan permohonan penangguhan hukuman penjara sementara dengan syarat tambahan Mohamed Syaffiq dikehendaki melapor diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang mulai Mei ini hingga rayuan dilupuskan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah Izzati Abdul Mutalif yang mengemukakan tujuh saksi, manakala tertuduh diwakili Peguambela Ahmad Nizam Abdul Mutalif.

Mohamed Syaffiq, 34, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada 22 September 2021 mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Anggota polis itu didakwa atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM700 bagi tujuan membebaskan seorang lelaki yang didapati memiliki ketum pada Disember 2020.

Suapan itu diterima daripada Afiq Hidayatullah Hussin sebagai dorongan mengambil tindakan dan melepaskan Mulhammad Faiz Aiman Mohd Yusof yang didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kerana 700 ringgit sanggup gadai maruah dan masa depan. Lain kali belajarlah dari orang politik yg SAKAU billion ringgit tapi masih berdendang sayang didunia ni.

Comments are closed.