MELAKA – Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah cedera manakala seorang lagi terpaksa dirawat di Hospital Melaka akibat tertusuk kaca ketika memadam kebakaran sebuah kilang perabot di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Fazzil Yusof berkata, mangsa, Mohd Arif Akmal Zuklifli yang terkena kaca di rusuk kanan bagaimanapun dilaporkan stabil.
Menurutnya, seorang lagi anggota Pegawai BB Mohd Ariffin Razid Noberusia pula mengalami kesan melecet di leher akibat ditimpa bumbung runtuh.
“Bagaimanapun, pematuhan terhadap aspek keselamatan dengan pakaian dan kelengkapan alat pelindung diri yang sempurna oleh kedua-dua petugas berusia 22 tahun itu berjaya mengelak tahap kecederaan yang lebih serius.
“Sebelum dibawa ke Hospital Melaka, mereka telah diberikan rawatan awal di lokasi oleh anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.
Terdahulu Mohd Fazzil berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran daripada orang awam pada pukul 11.20 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dikejarkan ke kawasan perindustrian itu.
“Seramai 25 anggota terbabit dalam operasi pemadaman itu dengan bantuan daripada BBP Melaka Tengah, Cheng dan Ayer Keroh berserta dua lori tangki.
“Operasi terkawal pada pukul 12.19 tengah hari dan ketika ini operasi pemadaman kebakaran yang mengakibatkan kilang berkenaan terbakar 60 peratus masih dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette.