Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Empat lagi pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didakwa telah dipukul dalam kejadian buli pada 12 April lalu di Pangkalan Udara Kuantan.

Keempat-empat pelatih yang menjalani kursus latihan sama dengan pengadu dikatakan dipukul oleh anggota TUDM yang lebih senior ketika dipanggil untuk membantu siasatan kes buli seorang pelatih.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pada masa ini siasatan lanjut masih dijalankan oleh pegawai penyiasat termasuk mendapatkan laporan perubatan.

“Setakat ini enam orang suspek sudah dikenal pasti dan sudah dipanggil bagi tujuan siasatan kerana disyaki terbabit dalam kes ini,” katanya memetik laporan BH.

Artikel berkaitan:

Katanya, pihak polis akan merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada selepas siasatan selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja. – MalaysiaGazette