KUALA LUMPUR – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia (MPP UiTM) mencadangkan pihak pengurusan universiti mengecualikan bayaran denda RM200 ke atas pelajar yang gagal membayar yuran.
Menerusi kenyataan kepada media, MPP UiTM turut mencadangkan agar diberikan diskaun ke atas bayaran denda itu.
“Kita mengambil maklum dan empati berkenaan isu Gugur Taraf yang tular dalam kalangan mahasiswa UiTM.
“Maka, kami ingin menjelaskan beberapa perkara seperti sebelum ini pihaknya pernah menyuarakan isu berkenaan kepada pihak Pengurusan Tertinggi UiTM.
“Kami faham dan cakna ramai mahasiswa UiTM terkesan dengan denda RM200 yang dikenakan bagi mengaktifkan semula status sebagai pelajar. Oleh itu, kami mencadangkan agar pengecualian bayaran denda RM200 atau diskaun bayaran denda dilaksanakan,” kata kenyataan itu.
Baru-baru ini, media melaporkan keluhan seorang mahasiswa UiTM yang secara tiba-tiba mendapat notis digugurkan taraf sebagai pelajar atas alasan tidak membayar yuran.
Sebelum ini, dakwa pelajar berkenaan, tarikh akhir untuk membayar yuran adalah sehingga hujung semester tanpa perlu membuat rayuan penangguhan bayaran.
Katanya, sebagai pelajar, mereka menjangkakan perkara sama pada semester ini, malangnya secara tiba-tiba ramai bertukar status sebagai gugur taraf disebabkan tidak membayar yuran.
Menurut kenyataan itu, MPP UiTM sedar tiada siapa mampu melangkaui undang-undang, malah menghormati peraturan yang termaktub dalam Perkara 2.32 Peraturan Akademik UiTM berkaitan Pengaktifan Semula Status Sebagai Pelajar Setelah Gugur Taraf.
Bagaimanapun, mereka telah berbincang bersama Pihak Pengurusan Tertinggi UiTM agar pelajar yang terlibat khususnya yang memerlukan khidmat rujukan boleh berhubung dengan Penasihat Akademik, Ketua Pusat Pengajian, Timbalan Dekan, Dekan atau Timbalan Rektor di fakulti dan cawangan masing-masing bagi tujuan memudahkan proses pembayaran yuran dan denda.
“Umum tahu, sistem pelaksanaan status Gugur Taraf telah dilaksanakan pada setiap semester berdasarkan Peraturan Akademik Diploma dan Sarjana Muda UiTM (Pindaan 2021).
“Pelajar yang dikenakan status GT merupakan mereka yang gagal mendaftar kursus pada tarikh ditetapkan atau yang tidak memohon penangguhan bayaran yuran bagi semester semasa dalam tempoh ditetapkan.
“Oleh itu, mereka seharusnya telah sedia maklum mengenai tempoh permohonan penangguhan bayaran yuran seperti yang tertera dalam Kalendar Akademik Sesi II Mac hingga Ogos 2023,” kata kenyataan itu.
Justeru, MPP UiTM mengingatkan kepada semua mahasiswa universiti itu agar sentiasa peka dan cakna dengan segala pemakluman pihak universiti demi kemaslahatan bersama. – MalaysiaGazette