Sesi menandatangani dokumen Memorandum Persefahaman secara dalam talian antara UTeM dan LZJT yang diadakan baru-baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperluaskan skop Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi di peringkat antarabangsa dengan menjalin kerjasama strategik bersama dengan institusi pendidikan TVET China.

Perkara itu dizahirkan menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan secara dalam talian antara UTeM dan Liuzhou Jiaotong School (LJS), China.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara elemen kerjasama UTeM dan LZJT adalah tertumpu kepada kemasukan pelajar antarabangsa, kurikulum akademik, pertukaran staf akademik, kolaborasi persidangan UTeM-LZJT dan program latihan amali antara Malaysia dan China.

“UTeM menyediakan laluan kepada pelajar LZJT lulusan Sekolah Vokasional Tinggi untuk penyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi yang ditawarkan di UTeM.

“Lulusan LZJT adalah setara dengan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan perlu melalui beberapa kursus ‘bridging’ yang disediakan di UTeM terutamanya dalam pembelajaran bahasa inggeris,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU itu menurut beliau, turut membuka ruang untuk perjalanan program-program lain termasuk pembangunan kurikulum pembelajaran TVET di samping peluang latihan amali di China dan beberapa sesi perkongsian ilmu dan teknologi antara 2 negara.

Katanya, kerjasama ini turut membuka ruang untuk meningkatkan kebitaraan pelajar UTeM dalam bidang TVET dengan menggunakan sistem dan teknologi berorientasikan Revolusi Industri (IR) 4.0 serta membudayakan budaya digitalisasi selaras dengan kehendak semasa.

“Agenda ini telah mempamerkan kesungguhan dan proaktif UTeM dalam usaha merancakkan permerkasaan TVET aras tinggi bukan hanya dalam negara malahan merentas sempadan dunia.

“Ini adalah selari dengan hasrat dan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan negara yang ingin melihat universiti awam teknikal seperti UTeM memperkasakan agenda TVET dalam segenap akar umbi,” ujarnya lagi.

MoU antara UTeM dan LZJT berkuatkuasa bagi tempoh 5 tahun bermula pada April ini hingga April 2028.

Majlis MoU antara UTeM dan LZJT yang diadakan atas talian ini disempurnakan oleh pihak UTeM yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), Prof. Ts Dr Effendi Mohamad.

LZJT pula diwakili oleh Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Perkhidmatan Pendidikan Global Malaysia, Esther Low dan Principal LZJT, Huang Yan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast