KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib meneliti semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, dasar afirmatif dalam peruntukan itu perlu dilaksana dengan lebih kreatif.
Serentak itu, tegas beliau, dasar monopoli yang hanya menguntungkan segelintir elit Melayu perlu dihentikan.
“Anwar Ibrahim perlu malah wajib supaya revisit atau melihat kembali lebih fokus dan teliti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera.
“Dasar affirmative action di bawah Perkara 153 itu hendaklah dilaksanakan dengan lebih kreatif dan inovatif untuk benar-benar menolong orang Melayu/Bumiputera yang miskin dan mundur ekonominya.
“Dasar-dasar bersifat kartel dan monopoli dengan segala keistimewaan AP yang selama ini hanya menguntungkan segelintir elit Melayu kroni di kelas atasan perlulah dinokhtahkan,” kata Hassan.
Katanya, keutamaan sekarang perlu berpindah kepada menjaga kepentingan jutaan orang Melayu dan bumiputera yang miskin dan mundur di seluruh negara.
Kaum lain yang senasib dengan orang-orang Melayu dan Bumiputera juga wajib dibela.
“Jika ini kita laksanakan, barulah kita boleh panggil kerajaan Anwar Ibrahim ini Kerajaan Madani,” kata Hassan.
Sementara itu, menurut Ahli Parlimen PKR itu, orang Melayu dan bumiputera tidak akan miskin seperti sekarang sekiranya UMNO melaksanakan pendekatan kelas.
Menurut beliau, dasar affirmative action di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu bukan falsafah ekonomi kapitalis.
“Jika dasar affirmative action ini dilaksanakan secara pendekatan kelas yang mirip pendekatan sosialis yang mengutamakan kelas orang Melayu bawahan yang miskin maka sudah lama orang Melayu dapat dibebaskan dari kemiskinan dan kemunduran ekonomi.
“Apa yang berlaku dalam tempoh 66 tahun merdeka, UMNO parti Melayu yang kuat itu mengambil pendekatan pembangunan ekonomi secara kapitalis terutama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed selama 22 tahun ataupun 1/3 daripada tempoh pemerintahan UMNO sebelum ia tumbang dalam pilihanraya umum 2018,” kata Hassan.
Menurut beliau, Dr. Mahathir hanya berjaya melahirkan beberapa orang Melayu yang jumlahnya boleh dibilang dengan jari untuk menjadi tokoh-tokoh korporat yang kaya raya hasil daripada dasar penswastaan.
Manakala jutaan orang Melayu kekal sebagai pekerja kolar biru bergaji rendah di bandar-bandar dan petani, pesawah dan nelayan miskin di desa.
Justeru secara sinis, Hassan berkata, apa yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir dalam buku Dilema Melayu dan Proklamasi Orang Melayu mengenai kemiskinan kaum tersebut ada kebenarannya.
Sebagai Melayu, Hassan berkata, beliau berhak untuk menyatakan punca kaum Melayu dan Bumiputera masih mundur dalam sektor ekonomi hingga sekarang.
“Sebahagian sebabnya terpaksa dipikul oleh Mahathir sendiri. Dasar penswastaan Mahathir yang mengutamakan pembentukan kelas kapitalis kroni di kalangan segelintir orang-orang Melayu.
“Dari kalangan saudara- mara, anak-anak sendiri dan kaum keluarga serta sahabat-sahabat rapat elit politik dan ekonomi Melayu adalah punca terbesar jutaan umat Melayu, Bumiputera menjadi rakyat miskin di bandar-bandar dan di desa-desa di seluruh negara.
“Terutama di negeri-negeri majoriti Melayu, Bumiputera di Kelantan, Trengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak,” katanya.- MalaysiaGazette
MP Pasir Gudang ni ada daya memimpin Negara tegas berilmu. Patut Anwar Ibrahim buat LANTIKAN TPM dari awal.
Zahid Hamidi adalah KELAINAN yang merugikan talent PUTRAJAYA. DUNIA memandang HAIRAN sifat itu… kenapa masih berlaku?
MP Pasir Gudang seorang yang punya prinsip jelas dan bersifat neutral