KUALA LUMPUR – Falsafah Hari Wesak yang sangat universal boleh diteladani dengan cermat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, falsafah perayaan tersebut boleh disingkap sebagai usaha memupuk kasih sayang, kemuliaan insan, prinsip hidup berdamping hormat menghormati dan hidup dalam keadaan aman dan berukun.

“Hari Wesak adalah hari besar buat sahabat-sahabat kita dari kalangan penganut Buddha di mana mereka memperingati tiga peristiwa penting melalui satu perayaan (Trisuci Wesak).

“Perayaan ini bertujuan memperingati lahirnya pendiri ajaran Buddha yakni Pangeran Siddharta Gautama dan setelah itu mencapai Penerangan Agung pada umur 35 tahun dan kemudian matinya Pangeran Gautama pada umur 80 tahun.

“Penganut Buddha percaya bahawa untuk mencapai kebahagiaan tingkat tinggi atau Nirvana adalah dengan melawan dan membenam sikap keserakahan, kebencian dan kejahatan. Inilah falsafah yang sangat universal yang boleh diteladani dengan cermat,” kata Anwar.

 

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Wesak yang diraikan penganut Buddha hari ini, Anwar berkata, kepelbagai kaum dan budaya di negara ini seharusnya memberi keinsafan kepada rakyat.

“Malaysia dikurniakan dengan pelbagai perayaan dan budaya, dan ia sepatutnya memberi keinsafan kepada diri kita.

“Untuk terus membawa mesej kasih sayang dan keamanan bersama persefahaman yang utuh sebagai jalan menghindari kebinasaan dan kepunahan tata hidup masyarakat majmuk di negara ini.

“Selamat menyambut Hari Wesak kepada seluruh penganut Buddha di Malaysia,” kata Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast