Lee Chong Chern.

SEBERANG PERAI – Satu laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook (FB), David Marshel susulan dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Lee Chong Chern.

Chong Chern membuat laporan polis itu pukul 10.04 malam semalam selepas menyedari kenyataan yang dimuatnaik David yang juga Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai MBSP membabitkan kelulusan permit perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut Hindu di daerah itu.

“Satu kebenaran untuk menyiasat (OTI) akan dipohon daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Semakan maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga akan dilakukan selepas memperolehi OTI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tangkap layar hantaran David Marshel yang mendakwa Ketua Polis SPS cuba mengagalkan Kerajaan Perpaduan dengan menuai kebencian terhadap kerajaan dari penganut Hindu di Facebooknya semalam.

Semalam, David yang juga Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memuatnaik kenyataan berbaur fitnah dengan mendakwa Ketua Polis Daerah SPS enggan dan sengaja melambatkan proses kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut agama Hindu di daerah itu.

Antara kandungan yang dinyatakan menyebut beberapa permohonan kuil ditolak atas sebab tidak munasabah sekali gus menidakkan hak penganut agama Hindu yang mahu mengadakan upacara keagamaan.

“Adakah beliau benci terhadap penganut Hindu atau apa yang membuat beliau menafikan hak yang ternyata dibawah perlembagaan negara?

“Ketua Polis IPD SPS ini cuba gagalkan Kerajaan Perpaduan dengan menyemai kebencian terhadap kerajaan oleh penganut Hindu di daerah tersebut,” kata David. – MalaysiaGazette