Onn Hafiz (kanan) membincangkan sesuatu kepada Hairi ketika melawat mangsa ribut di Kampung Melayu Majidee , Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Mangsa ribut di Kampung Melayu Majidee di sini akan menerima pampasan kerugian yang dialami mereka oleh kerajaan negeri

Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed berkata, pampasan berkenaan melibatkan sebanyak 176 kediaman milik mangsa.

Sumbangan itu akan diberikan pada mangsa terlibat secepat mungkin, katanya.

“Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta kerja-kerja pembaikan disegerakan, untuk itu, satu sesi townhall akan diadakan untuk menerangkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Kita telah pun berbincang nilai pampasan kerugian setiap rumah adalah berlainan dan kita belum boleh tafsirkan.

“Agensi terlibat dalam menyalurkan bantuan termasuk Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Menteri Besar,” katanya selepas lawatannya di Kampung Melayu Majidee hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah dan Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.

Sementara itu, Mohd. Hairi yang ditemui melahirkan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang bertindak pantas dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas.

Kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam, hujan lebat melanda Kampung Melayu Majidee berserta ribut kencang menyebabkan lebih 100 buah rumah dan kedai musnah.

Sementara itu, sebuah pusat pemindahan sementara akan dibuka di Dewanraya Kampung Melayu Majidee di sini bagi menempatkan keluarga yang kediaman mereka terjejas akibat ribut, petang tadi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kampung Melayu Majidee teruk dilanda ribut