GEORGE TOWN – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah berkhidmat selama dua penggal sebelum atau selepas pindaan Perlembagaan Negeri yang diluluskan pada 2018, tidak boleh dilantik semula.
Pindaan itu secara jelas menunjukkan bukan saja Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak boleh kembali ke jawatan itu semula, ia juga termaktub kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada masa akan datang.
Kon Yeow berkata, Perkara 7 Fasal 2 (a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan Ketua Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan individu yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan itu bagi dua penggal.
“Melalui pindaan ini, seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak boleh dilantik menjadi Ketua Menteri jika ahli berkenaan pernah memegang jawatan tersebut selama dua penggal.
“Kesimpulan yang boleh dibuat adalah bahawa mana-mana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah memegang jawatan itu selama dua penggal sebelum berkuatkuasa Perkara 7 Fasal 2 (a) Perlembagaan Pulau Pinang tidak boleh dilantik semula.
“Undang-undang itu jelas dan ia bukan sahaja mengikat saya pada masa hadapan malah mana-mana Ketua Menteri yang sudah berkhidmat selama dua penggal pada bila-bila masa,” kata beliau kepada pemberita, di Komtar, hari ini.
Kelmarin, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang menafikan terlibat dalam gerakan menghalang Kon Yeow memegang jawatannya semula sekiranya PH menang pada PRN akan datang.
Kesemua mereka yang tidak memegang jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri menegaskan tidak bercakap dengan portal Malaysiakini berhubung laporan bertajuk, ‘Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P Pinang’. – MalaysiaGazette
Apa? tiada peluang? kesiannya, sudahlah suaranya sudah tidak laku lagi, kini peluang sudah tertutup?