PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut selepas dilanggar sebuah lori semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Asar di Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa, Hulu Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam kejadian jam 5.10 petang itu, lelaki berusia 71 tahun yang menunggang motosikal menuju ke kediamannya di Taman Kesumba, Bukit Beruntung.

“Siasatan awal pegawai penyiasat polis di lokasi kemalangan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda Dash dipercayai dari lorong kiri kemudiannya mengubah haluan ke lorong kanan semasa kejadian berlaku.

“Lalu sebuah lori yang membawa muatan barang kurier yang dipandu seorang lelaki berumur 39 tahun datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak mangsa yang mengubah haluan lalu melanggar motosikal yang ditunggangnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, akibat rempuhan itu, mangsa yang terpelanting di atas jalan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan.

“Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menjalani proses bedah siasat bagi menentukan punca yang menyebabkan kematian,” ujarnya.

Menurut Ahmad Faizal, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast