Anwar bersalam dengan pengunjung rumah terbuka Malaysia Madani di Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH – Kerajaan memperuntukan dana tambahan menerusi satu skim besar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu dilaksanakan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian dana tambahan itu dipersetujui susulan Pulau Pinang berdepan kesesakan lalu lintas yang keterlaluan sekian lama dan LRT dilihat sebagai satu kaedah mengatasi permasalahan terbabit.

Jelas beliau, bagi tujuan itu, satu pertemuan akan diadakan dengan kerajaan negeri dalam tempoh dua minggu lagi bagi membincangkan skim dana untuk projek berkenaan.

Anwar.

“Kesesakan di Pulau Pinang amat keterlaluan. Kita ada LRT, MRT (Perkhidmatan Aliran Transit Massa) dan pelbagai monorel di Lembah Klang. Jadi, kenapa tak boleh dialihkan ke satu kota kedua terbesar di negara kita iaitu di Pulau Pinang.

“Semalam, saya ada perjumpaan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan pegawai kewangan untuk mencari kaedah yang baik melaksanakan LRT.

“Peruntukan projek LRT agak besar termasuk juga pinjaman yang memerlukan campur tangan Kerajaan Persekutuan dapat disegerakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang  hari ini.

Hadir sama,  Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fong; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta pemimpin negeri.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengumuman itu juga adalah usaha meredakan pelbagai isu kontroversi yang melanda di bawah pentadbirannya termasuk berkaitan Projek Selatan Pulau Pinang (PSI).

 “Saya dengar keluhan projek PSI dan ia tidak semuanya benar kerana Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan pimpinan negeri telah mengambil semua langkah untuk memberi jaminan kepada nelayan termasuk permasalahan hakisan, pembangunan semula perkampungan Melayu di beberapa tempat dan kawasan majoriti India serta juga Gertak Sanggul, majoriti Cina,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kon Yeow berkata, kerajaan di bawah pimpinannya tidak pernah berputus asa dalam meneruskan usaha melaksanakan projek LRT Komtar ke Bayan Lepas yang memberi manfaat kepada seluruh penduduk di negeri itu.

Projek berkenaan sentiasa dalam senarai untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi dipertimbangkan dalam Bajet 2023 Persekutuan.

Dakwaan segelintir pihak yang mengatakan projek terbabit tidak tersenarai dalam bajet 2023 adalah tidak benar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast