SHAH ALAM – Seorang pekerja kilang maut selepas tersepit di dalam mesin penarik fiber di dalam sebuah kilang di Jalan Kemuning, di sini hari ini.
Mangsa merupakan seorang lelaki warga Bangladesh dikenali Md Suruj Ali berusia 21 tahun mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor Zulfikar Jaffar berkata seramai 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.06 pagi.
“Lelaki tersebut tersepit di mesin itu ketika sedang bekerja dan pihak bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa yang mengalami cedera parah telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.- BERNAMA