IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan terdapat kehadiran harimau belang di Bukit Berekeh, Sungai Siput susulan tular gambar kesan tapak kaki haiwan itu.
Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata Unit Harimau sedang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan ketika ini.
“Sekiranya harimau ini tidak masuk semula ke hutan dalam waktu terdekat, kita akan pasang perangkap tetapi langkah-langkah untuk menghalau semula ke hutan sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau menasihati orang ramai dan penduduk sekitar agar tidak bersendirian ke hutan atau ladang terutama apabila suasana gelap ketika awal pagi dan waktu senja manakala penternak juga dinasihatkan agar memasukkan binatang ternakan ke dalam kandang.
“Jangan ganggu jika terserempak dengan si belang ini, maklumkan kepada kami segera sekiranya nampak individu atau kumpulan pemburu, jangan pasang jerat,” katanya.
Tular beberapa gambar menunjukkan kesan tapak kaki dipercayai milik harimau belang di laman media sosial yang dikatakan dijumpai di Bukit Berekeh serta dakwaan terdapat individu mendengar ngauman haiwan liar itu. – BERNAMA