KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak rasis dalam menandatangani Proklamasi Orang Melayu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebaliknya menjelaskan, dua pemimpin negara itu berbuat demikian kerana sayangkan bangsa Melayu serta Islam.
Katanya, apabila seseorang menyatakan rasa sayang dan kasihnya kepada bangsa sendiri tidak bermakna rasis.
“Selepas Dr. Mahathir dan Abdul Hadi tandatangan Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini, ada sesetengah pihak mengatakan mereka berdua rasis dan perkauman.
“Kalau kita sayangkan bangsa kita tidak berertinya kita rasis. Saya yakin dua pemimpin ini sayangkan bangsa Melayu dan Islam. Mereka bukanlah rasis.
“Samalah DAP sayangkan kepentingan orang Cina, tidak semua orang DAP rasis. Ada benda yang kita setuju dengan pandangan mereka dan ada benda yang kita tidak setuju,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan beberapa pemimpin Pas termasuk Abdul Hadi menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir.
Perkara tersebut dikongsi pembantu Mahathir, Abu Bakar Yahya di Facebooknya yang turut menularkan video pertemuan itu dengan komen ringkas daripada Abdul Hadi.
Zaid mengingatkan pihak tertentu agar tidak mudah melabelkan orang lain sebagai rasis.
Beliau memberi contoh, Pas memerintah Kelantan selama 33 tahun, tidak nampak berlaku pilih kasih atau amalan perkauman di negeri itu.
“Jangan mudah kita labelkan orang itu rasis. Pas memerintah Kelantan selama lebih 33 tahun, saya tak nampak mereka itu rasis kepada bangsa lain.
“Yang saya dan sesetengah orang lain kritik Pas ini ialah dasar mereka yang sempit. Kita kritik mereka supaya mengubah dasarnya kalau nakkan sokongan lebih meluas.
“Tapi, dari segi dasar Pas, saya tidak anggap mereka itu rasis atau bencikan orang Cina dan sebagainya. Mereka cuma mempunyai pandangan yang agak unik dan pelik. Itulah masalah Pas,” kata beliau.
Justeru, beliau meminta orang ramai tidak memandang serong terhadap Dr. Mahathir yang banyak berbuat jasa kepada rakyat dan negara.
Katanya, beliau tidak nafikan Dr. Mahathir ada juga buat silap, tetapi jasanya kepada negara dan orang Melayu khususnya tidak boleh dilupakan begitu sahaja. – MalaysiaGazette