KUALA LUMPUR – Teguran Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar Kerajaan Perpaduan tidak diganggu gugat bukan sahaja untuk ahli Parlimen pembangkang tetapi juga ahli Parlimen kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata, titah Sultan Ibrahim itu sewajarnya mengingatkan agar jangan ada ahli Parlimen kerajaan membuat tindakan pengkhianatan dengan ‘menikam dari dalam’.
Titah itu juga mengingatkan agar ahli Parlimen kerajaan tidak terlibat dalam sebarang ‘jual beli politik’ dengan pembangkang.
Titah baginda, menurut Puad merupakan teguran kepada pelampau politik yang tidak serik dengan pengalaman pahit pertukaran tiga perdana menteri sebelum ini.
Puad berkata, titah itu jelas supaya sebarang langkah untuk menumbangkan kerajaan dihentikan.
“Teguran Sultan Johor itu menyeluruh. Bukan sahaja kepada pihak lawan tetapi juga anggota Kerajaan Perpaduan demi maslahah kestabilan.
“Maka jangan ada parti atau ahli Parlimen di pihak Kerajaan Perpaduan membuat langkah menikam dari dalam. Jangan terbabit proses jual beli politik dengan pihak lawan.
“Titah Sultan Johor cukup jelas. Hentikan desas desus, provokasi, niat dan perancangan untuk menukar Kerajaan Perpaduan. Terutama oleh pihak lawan. Peluang sudah diberi melalui peti undi di PRU ke-15,” kata Puad.
Menurut beliau, teguran Sultan Johor amat wajar kerana idea pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.
Cadangan mewujukan Kerajaan Perpaduan adalah bagu menyelesaikan kebuntuan penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada 3 Mei lalu, Sultan Johor menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan PRU15 berlalu.
Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.
“Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita baik dari segi sosial, ekonomi mahu pun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini. Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda melalui kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Sebelum itu seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman, dilaporkan memberi bayangan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.
Beliau dilaporkan turut menyifatkan angka ‘126’ yang dimuat naik dalam satu hantarannya di Facebook sebagai signifikan sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Kerajaan Perpaduan.-MalaysiaGazette