KUALA LUMPUR – Pihak yang mahu menyaksikan Kerajaan Perpaduan tumbang dengan UMNO menarik diri perlu menerima hakikat bahawa kedua-duanya saling memerlukan.
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata, UMNO tidak akan membubarkan kerajaan yang dianggotai hanya untuk membuat gabungan dengan Perikatan Nasional (PN) atau parti lain.
Sebaliknya Ramasamy berpendapat, pimpinan UMNO akan memilih untuk bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding PN.
“Terdapat khabar angin bahawa UMNO mungkin berfikir untuk meninggalkan kerajaan perpaduan. Hujah bahawa Kerajaan Perpaduan memerlukan UMNO lebih daripada yang UMNO memerlukan kerajaan.
“Kita harus menghadapi hakikat bahawa UMNO dan kerajaan Perpaduan saling memerlukan antara satu sama lain.
“Tiada kemungkinan di pihak UMNO bahawa ia akan membubarkan Kerajaan Perpaduan untuk memeluk gabungan PN atau gabungan politik lain. Pimpinan UMNO tahu ianya lebih baik untuk bekerjasama kerajaan Anwar daripada gabungan PN,” katanya.
Menurut Ramasamy, selain faktor tersebut, terdapat lima lagi sebab Kerajaan Perpaduan tidak akan tumbang dan Anwar akan memimpin sehingga penggal Parlimen ke-15 berakhir.
Ramasamy berkata, sokongan politik kepada Kerajaan Perpaduan agak baik sekurang-kurangnya buat masa ini dengan tiada tanda pemberontakan dalam parti komponen.
Sokongan daripada gabungan politik dari Sabah dan Sarawak juga cukup kukuh kerana kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.
Tambahan katanya, rakyat Malaysia melihat hala tuju dan tindakan Anwar dalam melakukan perkara yang betul jauh lebih baik berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Anwar dengan pengalamannya yang melimpah ruah seolah-olah menjadi pemimpin yang amat dimahukan dan diperlukan oleh rakyat Malaysia.
“Keempat, langkah menentang rasuah dengan memperkasakan SPRM nampaknya satu keputusan yang popular dan wajar. Kemungkinan penahanan selanjutnya oleh SPRM mungkin menakutkan mereka yang terlibat dalam rasuah besar.
“Inilah sebab mengapa ada cubaan secara rahsia untuk menggugat kerajaan Anwar dengan bertopengkan Proklamasi Melayu.
“Dalam hal ini, pengisytiharan itu adalah percubaan licik untuk menggugat kerajaan Anwar,” kata beliau.
Tambah beliau, rakyat secara umumnya juga sudah letih dan muak dengan kerajaan yang sering berubah.
Pembangunan ekonomi dan kemakmuran tidak boleh dibina dalam keadaan yang tidak stabil.
Faktor terakhir Kerajaan Perpaduan akan kekal kerana Yang di-Pertuan Agong telah memberi petunjuk bahawa baginda tidak bersedia untuk mendengar atau melayan idea untuk menukar kerajaan perpaduan sekarang.
“Walaupun tidak ada prospek untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan Anwar, pasukan pembangkang tidak akan berundur. Mereka akan mengeksploitasi perubahan keadaan semasa untuk menjatuhkan kerajaan.
“Janganlah kita mengharapkan pembangkang untuk bersikap bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.
“Tiada keperluan untuk terlalu bimbang dengan pasukan pembangkang. Apa yang penting adalah kerajaan sekarang dilihat melakukan perkara yang betul untuk negara dan rakyatnya,” kata Ramasamy. – MalaysiaGazette
Peranan UMNO hanyalah sebagai pengampu kepada kerajaan sekarang, itu sahaja, tak lebih dari itu. Prestasinya akan kekal merundum. Sama2 saksikan trendingnya dlm PRU negeri dlm masa terdekat ini?