ALOR GAJAH – Seramai 683 daripada 1,000 bakal jemaah haji dari Melaka telah mengesahkan menerima tawaran untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, mereka antara jemaah kumpulan pertama yang dijadual berangkat ke tanah suci pada 21 Mei.
“Kita jangka jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa hingga penerbangan terakhir ke tanah suci bagi musim haji tahun ini.
“Sudah tentu jemaah haji yang terpilih telah bersedia sepenuhnya dengan melakukan persiapan untuk menjadi Dhuyufurrahman dan saya ingin menasihatkan kepada jemaah supaya menjaga kesihatan terutamanya dalam cuaca yang agak panas ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim Haji 1444 Hijrah di Masjid Sayyidina Abu Bakar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di Durian Tunggal, di sini.
Rahmad berkata, jemaah Malaysia dikenali sebagai jemaah yang berilmu dan berdisiplin semasa berada di tanah suci, justeru diharapkan imej tersebut dapat dikekalkan pada tahun ini dan tahun mendatang.
“Diharapkan semua jemaah dapat membuat persiapan sebaiknya dan saya mendoakan mereka mendapat haji yang mabrur,” katanya.
Sementara itu, bakal jemaah haji, Tijah Nduk, 75, berkata dia bersyukur kerana berpeluang untuk menunaikan ibadah haji bersama suaminya buat kali pertama tahun ini.
Katanya, perasaan terharu dan gembira bercampur baur memandangkan sebelum ini namanya dalam senarai menunggu untuk menunaikan ibadah haji pada 2020, tetapi tertangguh akibat pandemik COVID-19.
“Memang saya teringin sangat untuk ke tanah suci bagi melaksanakan ibadah haji dan selalu berdoa moga Allah SWT berikan kesihatan yang baik kepada kami untuk menyempurnakan kewajipan ini,” katanya.
Bagi Noor Nazzuha Nabiha Mohd Nazri, 18, terpilih untuk ke tanah suci bersama ibu dan bapanya untuk menunaikan haji sangat menggembirakan.
“Alhamdulillah rasa syukur sangat, sekurang-kurangnya saya dapat juga teman dan bantu ibu yang ada sedikit masalah kesihatan kerana pernah mengalami angin ahmar lebih tujuh tahun lepas, tetapi semakin pulih,” katanya yang memiliki akaun di Tabung Haji sejak berumur tujuh tahun. – Bernama