KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang bagi memastikan artikel bertajuk ‘Fresh Scandal Brewing at HR Ministry?’ yang disiarkan portal berita dalam talian, The Vibes ditarik balik.

Selain itu HRD Corp turut menuntut permohonan maaf daripada portal berita dalam talian itu.

Menurut satu kenyataan, artikel yang diterbitkan pada hari ini mengandungi dakwaan serius mengenai HRD Corp berkaitan kontrak dan proses perolehan inisiatif Pasport Kemahiran atau Skills Passport.

“Artikel tersebut mengandungi kenyataan palsu dan fitnah yang telah menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi dan integriti HRD Corp.,” kata HRD Corp menerusi kenyataan, hari ini.

HRD Corp mendakwa portal berita itu tidak membuat sebarang percubaan untuk menghubungi pihaknya bagi membolehkannya memberi jawapan kepada kenyataan yang salah sebelum menerbitkan artikel yang mengelirukan itu.

Ini mengecewakan dan tidak menggambarkan standard kewartawanan yang baik atau beretika daripada portal berita tersebut, ujarnya.

“Perkara-perkara yang dinyatakan dalam surat berkenaan telah dijawab dan diselesaikan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah HRD Corp.

“Di samping itu, kami percaya bahawa kandungan surai itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan bukan untuk penglihatan awam dan penerbitan media,” katanya.

Menurut kenyataan itu, HRD Corp. komited untuk mengekalkan standard etika, ketelusan dan integiri dan mengambil berat terhadap dakwaan yang tidak betul dalam artikel itu. – MalaysiaGazette.