Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto MUHD NA'IM, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Polis meminta seorang wanita yang menjadi mangsa ragut di tepi kaki lima kedai di Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Off Jalan Ipoh, di sini, semalam membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, semakan yang dilakukan mendapati tiada laporan polis diterima berhubung insiden tersebut.

Tambah beliau, pihaknya mengesan sebaran sebuah klip video kejadian ragut berdurasi 30 saat yang memaparkan rakaman seorang wanita diragut pada jam 9 pagi ini dan semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kedai mendapati kejadian itu berlaku pada jam 11.59 pagi semalam.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa ketika kejadian sedang berjalan di tepi kaki lima kedai telah diragut oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

“Suspek dilihat dengan pantas telah menarik beg tangan mangsa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Eng Lai, orang ramai yang mempunyai maklumat terhadap insiden itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222 bagi menyalurkan maklumat. – MalaysiaGazette