Polis Hilir Perak sedang mengesan pelajar perempuan dikenali sebagai N. Daarshini, 16, yang dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas sesi persekolahan pada Februari lepas. Foto: Polis

IPOH – Polis sedang mengesan pelajar perempuan N Daarshini, 16, yang dilaporkan masih tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan sejak 3 Feb lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata remaja berkenaan kali terakhir dilihat memakai pakaian seragam sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang pada hari beliau dilaporkan hilang.

“Pada 4 Februari pihak polis Hilir Perak telah menerima laporan berhubung kejadian kehilangan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun.

“Siasatan awal mendapati pada 3 Februari lalu, remaja tersebut telah datang ke sekolah mengikut pintu belakang dan kemudiannya terus keluar ikut pintu hadapan sekolah dan tidak pulang ke rumahnya selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata susulan laporan polis dibuat ibu remaja tersebut, polis telah mengedarkan semboyan orang hilang termasuk gambar mangsa ke seluruh balai polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa boleh menghubungi IPD Hilir Perak di talian 05-6299 222 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noor Aisyah Mat Isa di talian 011-1633 8463,” katanya.

— BERNAMA