Yahaya menyerahkan tongkat kuasa KP KL kepada Abu Samah yang akan memangku jawatan tersebut dalam majlis yang diadakan di IPK KL hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd Nor dilantik sebagai pemangku ketua polis dan pemangku timbalan ketua polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini.

Abu Samah akan memangku jawatan itu sebagai menggantikan Datuk Yahaya Othman yang akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Polis Pahang.

Abu Samah dijangka akan memangku jawatan itu sehingga kedatangan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu iaitu Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 2 April lepas yang berkuat kuasa 15 Mei ini.

Mohd Shuhaily ketika ini merupakan Ketua Polis Pulau Pinang sementara Abu Samah pula turut akan dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Polis Kedah berkuat kuasa 22 Mei ini.

Majlis serah terima tugas jawatan itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini dengan upacara disaksikan Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Azmi Abu Kasim yang hadir menyempurnakan majlis tersebut.

SAC Beh Eng Lai dipakaikan pangkat SAC selepas bertukar jawatan sebagai Ketua JPJKK KL di satu majlis yanh diadakah di IPKKL pagi tadi.

Pada majlis sama, berlangsung majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Sentul menyaksikan Senior Asisten Komisioner Beh Eng Lai selaku penyandang jawatan itu menyerahkan tongkat kuasa kepada penggantinya, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Beh Eng Lai bertukar jawatan sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Azmi berkata,  Yahaya merupakan pemimpin yang berpengalaman dalam perkhidmatan PDRM kerana pernah menjawat beberapa jawapan penting dalam pasukan.

“Beliau merupakan pemimpin yang berdedikasi dalam menjalankan tugas, mesra dengan senyuman namun di sebalik itu penuh ketegasannya.

“Penghijrahannya ke Kontinjen Pahang sebagai Ketua Polis Pahang adalah bertepatan dengan pengalaman beliau,” katanya ketika berucap di Majlis Serah Terima Tugas di IPK Kuala Lumpur di sini.

Azmi juga menyatakan keyakinannya Abu Samah akan meneruskan agenda dan perancangan yang akan direncanakan demi mencapai tahap prestasi kontinjen yang membanggakan selepas ini.

“Saya berharap agar semua warga PDRM Kontinjen Kuala Lumpur memberikan sokongan yang padu kepada Datuk Abu Samah dalam organisasi ini bagi mencapai kecemerlangan organisasi,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast