KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) mengenai pembahagian kerusi bagi enam pilihan raya negeri.
Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, parti itu bagaimanapun tidak menolak gerakan Proklamasi Orang Melayu yang diketuai Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Tidak ada bincang pasal kerusi kemasukan GTA, kita hanya bercakap pasal penyatuan Melayu dan menyokong penuh apabila hendak Melayu bersatu.
“Pasal kita pun sudah nampak (Melayu) berpecah dari segi NGO, parti politik.
“Jadi untuk negarawan seperti Mahathir untuk menyatukan Melayu, kefahaman kepada Melayu maka kita sokong,” tegas Razali.
Razali berkata, setakat ini seramai tiga pemimpin Bersatu telah menandatangani proklamasi tersebut.
Jelas beliau, proklamasi berkenaan ditandatangani secara individu dan bukan mewakili parti.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, beliau menemui Mahathir dan menandatangani proklamasi berkenaan atas arahan parti.
“Kami tiga orang tandatangan. Parti mengarahkan saya untuk hadir semasa hendak buat perjumpaan pertama yang dibatalkan itu.
“Kami dijemput buka puasa, saya, Peja dan Datuk Sskandar diarahkan pergi ke sana. Sampai di sana saya tandatangan.
“Proklamasi itu ditandatangani secara individu. Tapi saya pergi bagi pihak parti bagi penyatuan Melayu,” jelas beliau.
Razali berkata demikian kepada pemberita yang menghadiri Majlis Aidilfitri Bersatu dan media, di sini, hari ini.
Beliau ditanya sama ada Bersatu mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan GTA bagi pilihan raya negeri di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebelum ini pemimpin tertinggi Pas yang terdiri daripada Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan telah menandatangani proklamasi berkenaan. – MalaysiaGazette