KUALA LUMPUR – Selepas beberapa kali mengadakan mesyuarat di ibu pejabat UMNO, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke tingkat 39 bangunan itu malam tadi.
Ia adalah lokasi terakhir beliau berada di bangunan itu sebagai Timbalan Presiden UMNO kira-kira 25 tahun lalu sebelum dipecat daripada parti oleh presiden ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Anwar secara bernostalgia memegang kerusi yang menjadi tempat duduknya ketika itu iaitu di sebelah Dr. Mahathir.
“Di sinilah kerusi saya duduk sebelah Mahathir waktu dipecat 25 tahun dulu,” katanya ketika dibawa meninjau Dewan Persidangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Anwar di bawa melawat ke ruang tersebut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia malam tadi.
Ahmad Zahid merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ketika Anwar dipecat daripada parti.
Melalui foto yang dikongsi kelihatan Anwar dan Ahmad Zahid ketawa mengenang peristiwa yang telah lama berlaku.
“Siapa sangka selepas 25 tahun, beliau kembali semula ke Bilik Mesyuarat MKT UMNO tetapi kali ini selaku Perdana Menteri Malaysia.
“Demikianlah putaran roda-roda kehidupan yang ada ketikanya kita berada di atas dan ada kalanya kita berada di bawah sebagaimana firman Allah dalam ayat 140 Ali-Imran.
“Sebab itulah ketika berada di atas jangan sesekali angkuh dan sombong hingga lupa daratan kerana tidak selamanya kita kekal pada kedudukan itu,” kata Asyraf dalam perkongsian di media sosial.
Tambah beliau, begitu juga sekiranya ditakdirkan berada di bawah jangan rasa kerdil diri dan rasa terhina hingga hilang pedoman.
Ini kerana apabila berada di bawah tidak pula bermakna seseorang tidak mampu untuk bangkit kembali.
Anwar dipecat daripada UMNO pada 2 September 1998 dan ketika itu beliau turut memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dr. Mahathir mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 1 pagi selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNI bermesyuarat selama hampir empat ja di Menara Datuk Onn.
Anwar yang dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri da Menteri Kewangan sebelum itu menghadiri mesyuarat itu sebagai Timbalan Presiden parti.
Media melaporkan, pada mesyuarat itu beliau telah diberi peluang membela diri. Anwar dipecat atas dakwaan salah laku seksual.
Berikutan pemecatan itu gelombang reformasi berlaku dan Anwar kemudiannya menubuhkan Perti Keadilan Rakyat.-MalaysiaGazette