Nora Yaacob
Nora Yaacob

KOTA BHARU – Kadar pengangguran di Kelantan tinggi apabila merekodkan 4.1 peratus pada Februari lepas, kata Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob.

Beliau berkata, berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan (DOSM) itu, kadar pengangguran di negeri itu adalah tinggi berbanding kadar pengangguran negara iaitu 3.6 peratus.

Menurut Nora, memilih kerja antara faktor dikenal pasti menyebabkan kadar pengangguran di Kelantan tinggi.

“Masih terdapat rakyat di negeri ini yang memilih kerja, tidak mahu keluar dari Kelantan dan mahu kerja di negeri sendiri.

“Selain itu, kebanyakan rakyat negeri ini bekerja sendiri dan tidak formal. Faktor ini menyebabkan kadar pengangguran tinggi iaitu 4.6 peratus pada Disember tahun lepas, Januari (4.4 peratus) dan Februari (4.1 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perkeso Kelantan di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Nora berkata, bagi mengurangkan kadar pengangguran itu, pihaknya bercadang untuk mendapatkan penempatan pekerjaan sebanyak mungkin bagi membantu rakyat yang mahu bekerja.

“Sasaran penempatan yang ditetapkan tahun ini adalah 6,800. tahun lepas kita berjaya capai sasaran apabila berjaya menempatkan 5,500 individu bekerja,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast