KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menunggu jawapan daripada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar sama ada ingin bersama parti itu atau tidak.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasrat tersebut sudah dinyatakan hampir dua minggu yang lalu semasa majlis sambutan hari raya.
“Belum ada jawapan lagi dan kami masih menanti jawapan dia.
“Ketika saya tanya adakah dia akan kembali bersama UMNO, Khairy jawab no.
“Saya tanya lagi macam mana dengan parti lain, dia juga kata tidak, tetapi Bersatu dia hanya diam.
“Jadi kita tunggu sajalah apa katanya nanti,” katanya kepada media ketika sambutan majlis hari raya anjuran Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris hari ini.
Muhyiddin berkata, buat masa ini, beliau memberikan masa buat Khairy untuk membuat pilihan.
“Ada yang cakap Khairy ni mampu membawa suara orang muda dan kaum lain untuk parti. Tengok saja nanti macam mana.
“Setakat ini, apa yang saya boleh cakap, tidak ada paksaan untuk Khairy tetapi kami berlapang dada jika dia bersama kami,” katanya.
Tawaran bersama Bersatu adalah untuk mengukuhkan Perikatan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.
Khairy dipecat daripada UMNO bersama beberapa pemimpin lain kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette