Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang akan mengadakan sesi perbincangan lanjut berkenaan pindaan terhadap Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti pada Jun depan.

“Kita telah buat dua kali perbincangan sebelum sidang dewan kali ini dipengerusikan Speaker Yang Dipertua Dewan Negeri di mana secara prinsipnya kita tiada bantahan isu pindaan Akta Anti Lompat Parti ini.

“Cuma kita tengok, dalam pindaan dibuat itu, ada beberapa fasa yang penting yang tidak dimasukkan iaitu melibatkan ADUN-ADUN yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat PN, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan barisan kepimpinan Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pahang.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah berjumpa dengan penasihat undang-undang negeri dan PNakan mengadakan bengkel pada bulan hadapan bagi membolehkan mereka memberi cadangan kepada kerajaan negeri.

“Saya difahamkan, ADUN BN dan PH pun akan mengadakan bengkel bagi tujuan sama. Kita jangkakan akan dibawa ke sidang DUN akan datang. Tiada isu lain,” tambahnya.

Pada 2 Mei lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan RUU anti lompat parti tidak akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan datang hasil persetujuan bersama pihak pembangkang.

Ini menjadikan Pahang sebagai antara negeri yang masih belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober 2022. – MalaysiaGazette