Pemimpin Perikatan Nasional (PN) Pahang dalam mesyuarat khas berkenaan persidangan DUN dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat PN di sini, hari ini.

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang menyambut baik titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya peruntukan sama rata diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut bersetuju dengan titah bahawa ADUN pembangkang juga dipilih oleh rakyat dan berhak menerima peruntukan sama seperti wakil rakyat lain.

“Kami merakam penghargaan yang tinggi kepada Tuanku. Secara tak langsung, satu arahan dikeluarkan kepada pihak kerajaan supaya menyalurkan peruntukan kepada semua ADUN, kerana Tuanku sebut, kami (ADUN pembangkang) dipilih oleh rakyat,” katanya.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Difahamkan, wakil rakyat pembangkang di negeri ini pernah diberikan peruntukan sama seperti ADUN daripada Barisan Nasional (BN) ketika kewujudan Muafakat Nasional pada 2019 dan 2020.

Bagaimanapun, pemberian peruntukan tersebut dihentikan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Tambah ADUN Cheka itu, kerajaan negeri perlu mengambil perhatian serius titah Tengku Hassanal dalam menyalurkan peruntukan pembangkang bagi tujuan pusat khidmat dan pembangunan.

“Terdapat dua jenis peruntukan, satu untuk Pusat Khidmat, kedua untuk pembangunan iaitu projek-projek kecil dalam kawasan yang kita wakili.

“Bagi kami, peruntukan itu kedua-dua nya penting. Lebih-lebih lagi jika berlaku bencana alam dan rakyat terkesan datang kepada kami untuk peruntukan segera bantuan,” jelas Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat PN, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan barisan kepimpinan Pas dan Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) Pahang. – MalaysiaGazette