Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Razali Idris bercakap kepada media pada Majlis Bersatu Beraya Bersama Media di Wangsa 118, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Penjelasan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak diterima oleh Bersatu.

Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris mendakwa, Rafizi seolah-olah ditimpa ‘bodoh’ mengejut.

Razali berkata, OPR merupakan isu besar kerana ia turut mempengaruhi kehidupan rakyat dari segi kenaikan harga barangan.

“OPR perkara besar, bukan kecil. Ini menyebabkan harga barangan keperluan naik. Menteri Eknomi jawab macam itu sahaja. Dia kata, rakyat tak terkesan. Tak tahu saya nak kata apa, tak tahu maksud sebenarnya.

“Saya nampak (Rafizi) bodoh secara mengejut. Dulu nampak cerdik masa pembangkang tapi sekarang nampak kebodohan datang mengejut,” katanya.

Razali berkata demikian kepada pemberita yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Bersatu bersama media hari ini.

Lima hari lalu Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan OPR meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus.

Dalam satu kenyataan, bank pusat berkenaan menyatakan kenaikan ini akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkatkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Banyak pihak mendesak supaya kerajaan menjelaskan kenaikan OPR termasuk Ahli Parlimen PKR (Pasir Gudang) Hassan Abdul Karim.

Rafizi dilaporkan berkata, kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menentukan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tanpa campur tangan kerajaan, akan terus dipertahankan.

Rafizi menegaskan langkah itu penting bagi memastikan BNM dapat membuat keputusan terbaik untuk kelangsungan ekonomi negara bagi jangka masa panjang, tanpa terpengaruh dengan tuntutan dan pandangan semasa.

“Saya memang secara konsisten sejak menjadi menteri, mempertahankan bahawa keputusan mengenai OPR ini, bagi menentukan kadar faedah pinjaman, perlu diberikan kepada BNM.

“Sebab itu di kebanyakan negara di seluruh dunia, keputusan mengenai kadar faedah ini tidak dipegang oleh ahli politik, jika tidak, akan ada sentiasa tekanan atau pandangan rakyat.

“Kalau ikutkan secara umumnya, (semua orang) kalau boleh nak pinjaman ini kadarnya kosong, tetapi akan ada kesannya kepada ekonomi yang lain,” katanya.

Rafizi berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pandan 2023 di Dewan Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast