KUALA LUMPUR – Saham Lynas Rare Earth Ltd. meningkat selepas kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh selama enam bulan kepada syarikat nadir bumi itu untuk memenuhi semua syarat lesen operasinya di negara ini.
Syarikat pelombongan Australia itu diberikan tempoh sehingga Januari tahun depan.
Saham Lynas meningkat sehingga 12 peratus pada dagangan awal hari ini.
Pada 10.13 waktu Sydney, saham syarikat itu diniagakan pada harga A$7.35 sesaham.
Berita berhubung pelanjutan tempoh untuk kilang berkenaan dijadikan fasiliti bebas radiasi disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Malah keputusan itu turut disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Kilang Lynas di Malaysia adalah kilangnya yang terbesar di luar China.
Bagaimanapun, ia sering berdepan tekanan berkaitan isu-isu alam sekitar dan komuniti.- MalaysiaGazette