Tindakan Siti Zailah mengambil air dari pilih bomba menimbulkan kemarahan pelbagai pihak yang menuduhnya mengambil jalan mudah untuk kepentingan diri.

KUALA LUMPUR – Heboh di media sosial mengenai tindakan seorang wakil rakyat di Kelantan didakwa mencuri air dari pili Bomba dan Penyelamat untuk diagihkan kepada penduduk berikutan masalah bekalan air meruncing di negeri itu.

Bagaimanapun, wakil rakyat terbabit, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof tampil menafikan tuduhan itu dengan mendakwa tindakannya dalam pengetahuan Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurutnya, tiada istilah beliau mencuri air sebagaimana dihebohkan dan viral di media sosial.

“Tindakan saya ini telah dimaklumkan kepada AKSB dan pihak bomba. Saya mengambil air dari pili bomba kerana masalah air di Kelantan dan pekan Rantau Panjang khususnya dalam keadaan kecemasan.

Siti Zailah Mohd Yusoff

“Dalam keadaan ini semua pihak termasuk agensi kerajaan sepatutnya perlu beri kerjasama membantu menangani masalah ini, bukan mencari salah sesiapa.

“Apabila masa ini berlaku, AKSB mencadangkan bekalan air diambil dari pili bomba kerana ia tidak menjejaskan keperluan air apabila berlaku sesuatu kecemasan,” katanya sebagaimana lapor Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini, media sosial memviralkan Siti Zailah dengan sedang menyaksikan lori tangki mengambil air dari pili bomba untuk diagihkan kepada penduduk setempat sekitar Rantau Panjang.

Tindakan itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk musuh politik yang mendakwa beliau mengambil jalan mudah mendapatkan sumber air, bukan menyelesaikan masalah di peringkat kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin dalam responnya menafikan kebenaran telah diberikan pihaknya kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang itu.

Terdahulu, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, Siti Zailah sedang disiasat atas dakwaan mengambil air dari pili bomba.

Siti Zailah yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan, air dari pili bomba tidak mungkin kering kerana sentiasa ditambah secara automatik apabila berlaku pengurangan bekalan air.

Malah, katanya, pada hari kejadian 18 April lalu itu, beberapa anggota bomba yang turut membantu mendapatkan air daripada pili bomba untuk dibekalkan kepada penduduk yang menghadapi masalah bekalan air.

“Pili ini dibuka oleh anggota bomba sendiri bagi memasukkannya dalam lori tangki dan masalah ini berlaku di banyak daerah, bukan di Rantau Panjang sahaja.

“Tambahan pula, penggunaan saluran paip di Kelantan adalah secara guna sama antara AKSB dan bomba dan perkara itu sudah sedia maklum oleh semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. YB cap ayam. Isu air dh berpuluh tahun tanpa penyelesaian. Adakah idea guna air pili bomba tu penyelesaian yg bernas? Isu kebenaran guna air pili bomba pulak yg sebuk diperdebatkan. Isu yg perlu diselesaikan ialah langkah penyelesaian bekalan air bersih bukan isu tu.. Aduhai..

Comments are closed.