KUALA LUMPUR – Atlet wanita negara, Grace Wong Xiu Mei apabila berjaya meraih pingat emas dalam acara lontar tukul besi di Sukan SEA yang berlangsung di Stadium Morodok Techno, Phnom Penh hari ini.
Dia menyumbang pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia yang memasuki hari ketiga.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila Grace yang meraih emas ketiga di temasya dwitahunan itu turut cemerlang memecahkan rekod kejohanan menerusi balingan sejauh 61.88 meter (m).
Catatan itu memecahkan rekod lama miliknya, 59.64m yang dilakukannya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Kejayaan Grace turut diiringi seorang lagi atlet muda negara Nurul Hidayah Lukman apabila memenangi gangsa menerusi jarak balingan sejauh 49.61m manakala pingat perak milik wakil dari Thailand Mingkamon Koomphon (57.62m).
Mengikut rekod, Grace sebelum ini memenangi pingat emas pada penampilannya di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sebelum mengulangi pencapaian cemerlang itu di Hanoi tahun lalu.
Grace juga adalah pemegang rekod kebangsaan menerusi catatan 62.48 m yang dilakukan pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia dua tahun lalu.
Sementara itu, Nurul Hidayah yang dianggap sebagai permata baru dalam acara lontar tukul besi turut berpuas hati dapat membawa pulang pingat pada penampilan pertama di Sukan SEA. – MalaysiaGazette