Wawa Zainal bersama suaminya, Aeril Zafrel.

KUALA LUMPUR – Kesemua 12 peserta program realiti Big Stage musim kelima sudah diperkenalkan dan mempamerkan persembahan menarik pada minggu pertama yang berlangsung semalam.

Selain peserta, hos dan juri, seperkara yang turut mencuri perhatian bagi edisi kali ini adalah penaja utama Big Stage iaitu Wawa Cosmetics yang diasaskan oleh pelakon terkenal Wawa Zainal bersama suaminya, Aeril Zafrel.

Menariknya, pembabitan pasangan itu menjadikan mereka artis pertama yang menaja program TV tempatan yang mana sebelum ini dimonopoli oleh usahawan kosmetik.

Tidak cukup itu, Wawa dan Aeril dikatakan berhabis jutaan ringgit untuk menaja Big Stage musim kelima ini.

Wawa Zainal adalah pengasas Wawa Cosmetics.

Wawa, 32, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin teruja apabila dipelawa menjadi penaja utama kerana beranggapan Big Stage adalah program yang kian dikenali dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Diakui sebelum ini kami ada juga mendapat tawaran untuk menaja beberapa program TV lain tapi mungkin ketika itu masa tidak kena. Selain anggap belum rezeki kami bersama dengan program terbabit.

“Untuk kali ini, kami ditawarkan untuk menaja Big Stage pula. Selepas mempertimbangkan beberapa perkara dan melihat perkembangan program ini dari musim pertama, itu yang saya dan Aeril bersetuju.

“Insya-Allah, dengan sambutan yang diberikan pada program ini, jenama kami juga boleh bergerak seiring,” katanya.

Menurut Wawa, menjadi penaja juga adalah satu tanggungjawab besar buat dirinya dan jenama yang dibawa.

“Orang mungkin ingat menjadi penaja ini akan popular, tapi ada beban dan tanggungjawab besar perlu kami galas. Kos yang dikeluarkan juga bukan jumlah kecil. Jadi, ia ibarat satu pertaruhan berani daripada Wawa Cosmetics,” katanya. – MalaysiaGazette