Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang ditemui selepas Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Muhibah, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak akan menutup operasi kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, MOSTI hanya tidak membenarkan operasi ‘cracking and leaching’ (C&L) diteruskan.

“Saya tidak dengar kilang Lynas Malaysia akan ditutup cuma keputusan kita buat adalah tidak membenarkan operasi (C&L) dan sebelum ini, Lynas sudah pun terima baik syarat tersebut.

“Kilang mereka di Kalgoorlie, Australia Barat juga hampir siap dan lanjutan tempoh ini mengambil kira sekiranya mereka tidak dapat siap sebelum Julai ini kita beri sedikit lanjutan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Muhibah di sini, hari ini.

Semalam, Lih Kang dalam kenyataannya berkata, rayuan Lynas berhubung keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)  sebelum ini kekal ditolak.

Beliau memutuskan untuk menolak rayuan Lynas supaya empat syarat lesen digugurkan dibuat selepas satu sesi pendengaran diadakan, 28 April lalu.

Namun, beliau bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi kilang C&L sehingga 31 Disember ini.

Ia selepas mengambil kira impak terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global sekiranya tempoh lanjutan itu tidak diberikan.

Media sebelum ini pernah melaporkan kebimbangan pekerja-pekerja syarikat itu sekiranya operasi C&L dihentikan.

Katanya, penutupan operasi C&L bermakna operasi Lynas Malaysia secara keseluruhan juga akan berakhir.

Mengulas desakan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok yang meminta pemimpin politik yang sebelum ini lantang membantah operasi kilang LYNAS untuk memohon maaf secara terbuka.

Lih Kang yang juga ahli Parlimen Tanjung Malim berkata, itu adalah pandangan masing -masing, namun ia tidak ada kaitan dengan isu ini.

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast