Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 11 Mei ini di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Pemukiman Sidang Kemuncak, Anwar turut mengambil bahagian dalam perbincangan suamuka antara pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan pasukan petugas peringkat tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT) serta mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) ke-15 yang dijadualkan di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan akan menjadi peluang bagi Malaysia untuk berkongsi dan bertukar pandangan dalam pelbagai isu, termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar serta perkembangan serantau dan antarabangsa.

Ini termasuk pembangunan di Myanmar dan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama serantau, memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara berlatarbelakangkan ketidakstabilan, keselamatan serta sosio ekonomi di rantau ini.

Ketika di Labuan Bajo, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan di sela-sela mesyuarat dengan beberapa rakan sejawatannya di ASEAN.

Tema Kepengerusian ASEAN Indonesia untuk 2023 ialah ASEAN Matters: Epicentrum of Growth. – MalaysiaGazette