Rahadiazli Rahalim. Foto Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim menganggap kecederaan saat akhir sehingga terpaksa digugurkan daripada temasya Sukan Sea Kemboja sebagai ujian dan kini fokus untuk pulih sepenuhnya sebelum Liga Super bersambung.

Pemain berusia 22 tahun itu mengakui dugaan yang sentiasa menimpanya setiap kali dipanggil ke skuad kebangsaan sebelum ini apabila namanya digugurkan daripada skuad Harimau Malaya selepas didapati positif Covid-19.

Kini beliau mengalami kecederaan retak di bahagian tangan kanan, sekaligus terpaksa melupakan hasrat ke Sukan Sea.

Namun, situasi itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus bekerja keras terutamanya dalam usaha membantu kelab kembali ke kedudukan yang lebih baik di pentas Liga Super.

“Situasi yang macam ini saya dah selalu rasa sejak berumur 19 tahun lagi dan setiap kali ke skuad kebangsaan, mesti ada sahaja yang tak kena.

“Tak kisah benda kecil atau besar, mesti ada sesuatu akan terjadi macam sekarang ini tetapi saya anggap ia sebagai ujian dan saya juga kena sentiasa perbaiki diri saya.

“Memang saya kecewa sebab saya tahu ini adalah Sukan Sea yang terakhir saya dan saya nak perbaiki balik apa yang pernah jadi ketika di Singapura (Piala Merlion) tahun lepas.

“Tetapi, apabila keputusan X-ray dah keluar, memang saya dah tahu tak dapat untuk ke Sukan Sea dan sekarang saya tidak mahu fikir apa-apa, saya hanya nak cepat pulih sahaja,” jelasnya.

Dalam masa sama, Rahadiazli menyifatkan kecederaan yang dialaminya itu tidak terlalu serius dan dijangka pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu selain positif dapat kembali beraksi dalam kesebelasan utama.

Bahkan, tempoh rehat yang ada sebelum sepak mula bersambung pada 19 Mei ini sekurang-kurangnya dapat memberikan lebih masa kepada beliau untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan yang lebih baik selepas ini.

“Kecederaan saya ini tidaklah teruk sangat cuma sekarang ada rasa tak selesa di bahagian jari dan kecederaan ini tidak akan lama.

“Yang penting, ia tidak akan makan masa lama untuk pulih sepertimana yang saya pernah kena ACL sebelum ini apabila terpaksa berehat lama.

“Cuma awal-awal tu doktor cakap ada sedikit retak dan tulang ada sedikit terkehel, tetapi sekarang Alhamdulillah semakin baik”, tambahnya.

Terengganu FC akan berkunjung ke Stadium Likas pada 19 Mei ini untuk aksi Liga Super menentang Sabah FC.

Skuad kendalian Tomislav Steinbrückner kini berada di tangga kelapan dengan 13 mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast