Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Masyarakat dunia perlu mengambil tindakan tegas ke atas rejim zionis Israel yang selama ini dengan sewenang-wenangnya berlaku kejam serta telah menjajah dan menjarah bumi Palestin selama lebih 74 tahun.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan perjanjian damai yang dipersetujui dan dikuatkuasakan telah dicabuli serta nasib Palestin dan warganya tetap sama malah lebih buruk daripada dahulu.

Menurut beliau, rejim zionis Israel perlu dikenakan tindakan dan sekatan yang lebih ketat dan tegas daripada sebelumnya berdasarkan undang-undang antarabangsa.

“Isu Palestin adalah satu isu yang cukup ‘memalukan’ bagi masyarakat dunia kerana ia satu-satunya isu yang tidak mampu diselesaikan sehingga ke hari ini.

“Isu Palestin dipinggirkan dan seolah-olah terdapat sikap dwistandard dalam kaedah menanganinya berbanding pelbagai konflik lain yang berlaku di dunia hari ini mahu pun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu mengulas mengenai serangan udara rejim Zionis Israel di Gaza malam kelmarin yang mengorbankan 15 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 20 mangsa.

Beliau menambah, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan PBB perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menangani isu Palestin dan mesti meletakkan titik noktah bagi mengakhirinya.

“Sampai bila harus dibiarkan ia berlarutan? Adakah sehingga semua warga Palestin terkorban atau Palestin lenyap dari muka bumi ini?” soalnya.

Muhammad Khalil berpandangan, Asia Barat akan terus bergolak selagi isu Palestin dibiarkan berlarutan.

“Ia seterusnya menjejaskan matlamat untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast