nasrudin hassan rafizi pas
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menganggap Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba menyuburkan budaya hedonisme dan songsang  apabila membiarkan konsert Coldplay diadakan di tanah air tidak lama lagi.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Pas, Nasrudin Hassan mendakwa konsert kumpulan muzik antarabangsa yang bakal berlangsung November nanti tidak membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara.

Justeru beliau menggesa konsert berkenaan dibatalkan.

“Apakah kerajaan bermaksud mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang dalam negara ini? Saya nasihatkan agar batalkan sahaja persembahan kumpulan ini di Malaysia. Tidak membawa apa apa kebaikan pada agama, bangsa dan negara,” tulisnya di Facebook hari ini.

Coldplay memilih Malaysia sebagai salah satu siri jelajah konsertnya yang bermula sejak Mac yang lalu hingga November ini.

Selain Malaysia, kumpulan muzik tersebut dijangka beraksi di beberapa negara lain iaitu Jepun, Taiwan, Indonesia dan Australia.

Semalam, Anwar juga tidak melepaskan peluang mengucapkan selamat datang kepada Coldplay menerusi video yang dimuat naik di media sosial semalam termasuk ciapan di Twitter.-MalaysiaGazette